Sunday, June 14, 2026

Madani Business Awards iktiraf perniagaan berimpak sosial

Antara kategori utama termasuk Anugerah Kecemerlangan Utama, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Tokoh Korporat & Usahawan, serta Anugerah Kehormat.

Mesti Baca

BUAT julung kalinya, Madani Business Awards 2025 bakal memberi pengiktirafan kepada usahawan dan syarikat korporat tempatan yang berjaya menggabungkan prestasi perniagaan cemerlang dengan sumbangan sosial yang signifikan.

Anugerah yang dianjurkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Yayasan Generasi Malaysia itu akan berlangsung pada 28 November ini di Intercontinental Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohd Yahya Mat Sahri, penganjuran anugerah itu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk memupuk budaya perniagaan beretika, inklusif dan bertanggungjawab.

“Madani Business Awards mengiktiraf usahawan yang mencapai kejayaan komersial sambil memberi impak positif kepada masyarakat, berasaskan enam nilai Malaysia Madani: Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selaras dengan tema Excellence With Values, beliau berkata, anugerah itu juga menekankan nilai ihsan dan amanah sebagai panduan utama memastikan pemain industri memberi manfaat kepada masyarakat dengan adil dan berintegriti.

Mohd Yahya berkata, penilaian anugerah merangkumi strategi perniagaan, pertumbuhan, tadbir urus, inovasi serta amalan terbaik organisasi.

MOHD YAHYA MAT SAHRI

“Proses saringan dijalankan oleh lembaga penasihat dan panel pakar industri melalui indikator kewangan, operasi, keberkesanan teknologi digital dan kelestarian jangka panjang,” katanya.

Antara kategori utama termasuk Anugerah Kecemerlangan Utama, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Tokoh Korporat & Usahawan, serta Anugerah Kehormat.

Buat pertama kali, organisasi media dan pempengaruh media sosial yang mempromosikan nilai positif turut diberi pengiktirafan.

Calon perlu beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan melalui penilaian ketat berdasarkan prestasi perniagaan, tadbir urus, inovasi serta sumbangan sosial yang disokong oleh pasukan penyelidikan.

Mohd Yahya menambah bahawa penganjuran ini membuktikan bahawa amalan perniagaan bertanggungjawab mampu bergerak seiring dengan kejayaan komersial.

Majlis penghargaan itu turut mendapat sokongan Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian, seiring komitmen Malaysia Madani untuk memacu inovasi beretika, memperkukuh kesejahteraan komuniti serta merancakkan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan. — Edisi 0

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan