TANDA-TANDA ringan seperti darah dalam najis, sakit perut atau rasa ingin membuang air besar secara berterusan sering dianggap masalah biasa oleh orang ramai, namun ini sebenarnya boleh menjadi petunjuk awal kepada kanser kolorektal iaitu antara jenis kanser paling kerap menyerang lelaki di negara ini.
Pakar Bedah Am dan Kolorektal Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC), Dr. M. Jothinathan berkata, kesilapan menafsir simptom membawa kepada kelewatan diagnosis sehingga ramai pesakit hanya dikesan pada tahap serius.
Beliau yang memetik laporan Malaysia National Cancer Registry Report 2017–2021 berkata, kira-kira 70 peratus pesakit hanya mengetahui mereka menghidap kanser kolorektal ketika berada di peringkat tiga atau empat, menjadikan rawatan lebih sukar serta mengurangkan peluang untuk hidup lebih panjang.
“Penyakit ini boleh dicegah dan dirawat dengan lebih baik jika dikesan pada peringkat awal. Malangnya ramai pesakit hanya datang apabila gejala sudah ketara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Jothinathan berkata, data turut menunjukkan kanser kolorektal menyumbang hampir 10 peratus kes kanser global, manakala di Malaysia, kaum Cina merekodkan kes tertinggi, diikuti Melayu dan India.

“Jika sebelum ini penyakit ini banyak berlaku dalam kalangan warga emas, kini pakar menyaksikan peningkatan mendadak dalam kelompok umur 20 hingga 50 tahun, sesuatu yang dianggap mencerminkan perubahan gaya hidup dan corak pemakanan yang kurang sihat,” katanya.
Dr. Jothinathan menegaskan, saringan awal merupakan langkah paling efektif bagi mengurangkan risiko kematian.
Katanya, antara saringan mudah dan mampu milik ialah ujian darah samar najis imunokimia (iFOBT) serta ujian najis M2-PK, yang tersedia di kebanyakan klinik.
Jelas beliau, ujian tanpa invasif tersebut membolehkan pengesanan awal darah tersembunyi atau penanda enzim, sebelum gejala muncul.
“Jika keputusan positif, pesakit disyorkan menjalani kolonoskopi bagi membolehkan doktor mengenal pasti dan membuang ketumbuhan mencurigakan,” katanya.
Garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia dan American Cancer Society turut mengesyorkan saringan bermula pada usia 45 tahun, lebih awal daripada cadangan sebelum ini iaitu 50 tahun, susulan peningkatan kes dalam kalangan golongan muda.
Individu yang mempunyai sejarah keluarga disaran memulakan saringan pada usia 40 tahun, atau 10 tahun lebih awal daripada usia diagnosis ahli keluarga terdekat.
Walaupun saringan tersedia secara meluas, kurang 20 peratus rakyat Malaysia tampil menjalankannya.
Kata beliau, ketakutan, stigma dan rasa malu menjadi punca utama mereka mengelak daripada berbincang atau menjalani pemeriksaan.
“Ramai bimbang kolonoskopi menyakitkan atau enggan bercakap tentang bahagian tubuh itu. Hakikatnya ujian ini cepat, selamat dan mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kanser Kolorektal (2021–2025) menunjukkan pengesanan awal meningkatkan kadar kelangsungan hidup sehingga 75.8 peratus bagi pesakit peringkat satu, berbanding 17.3 peratus bagi peringkat empat.
Walaupun kerajaan, Klinik Kesihatan dan NGO seperti NCSM serta CORUM menyediakan saringan percuma, penyertaan masih rendah.
Dr. Jothinathan percaya integrasi sistem peringatan saringan berkala, seperti diamalkan di Jepun, Singapura dan United Kingdom, mampu meningkatkan kadar pengesanan awal secara signifikan.
Selain pencegahan kanser, Dr. Jothinathan menekankan pentingnya menjaga kesihatan kolon kerana ia mempengaruhi penghadaman, emosi serta tahap tenaga.
Beliau turut menggesa pengamal perubatan supaya lebih terbuka membincangkan isu kesihatan usus kerana mereka merupakan barisan pertama yang dihubungi pesakit.
“Dengar isyarat tubuh anda, lakukan saringan awal dan jangan tunggu sehingga simptom muncul. Kanser kolorektal boleh dicegah dan dirawat jika dikesan pada waktunya,” katanya.

