Thursday, June 4, 2026

Nik Nazmi persoal kenapa khidmat Maimunah dipendekkan

Kerajaan Persekutuan mestilah memberi penjelasan mengapa gangguan di dalam pentadbiran Kuala Lumpur begitu mendesak.

Mesti Baca

AHLI Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan tindakan kerajaan memendekkan tempoh Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, tempoh perkhidmatan Datuk Bandar tidak wajar dipendekkan tanpa alasan kukuh.

“Kerajaan Persekutuan mestilah memberi penjelasan mengapa gangguan di dalam pentadbiran Kuala Lumpur begitu mendesak.

“Isu ini menunjukkan keperluan untuk kita melakukan reformasi terhadap bagaimana Kuala Lumpur ditadbir,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Maimunah sebagai Penasihat Hartanah Petronas berkuat kuasa 17 November ini manakala jawatan beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur diambil alih oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

NIK NAZMI NIK AHMAD

Khidmat Maimunah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu sepatutnya berakhir pada 15 Ogos tahun depan.

Nik Nazmi berkata, buat masa ini warga kota tiada suara di dalam pentadbiran ibu kota, dengan kuasa tertumpu di tangan seorang Datuk Bandar, yang lazimnya dilantik dalam kalangan penjawat awam.

“Saya hairan apabila tempoh perkhidmatan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ditamatkan lebih awal daripada perancangan asal iaitu sehingga Ogos 2026. 

“Namun, saya yakin beliau akan terus memberikan khidmat yang terbaik bagi peranan baharunya di Petronas,” katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengulangi desakan agar kerajaan perlu mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Tegas beliau, langkah itu adalah yang terbaik untuk memastikan akauntabiliti dan prestasi yang lebih baik dalam tadbir urus ibu kota yang telah mencapai status maju.

“Tambahan pula, manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum 2022 turut menekankan pengukuhan penyertaan rakyat dan pendemokrasian bagi DBKL. 

“Alasan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan boleh mencetuskan ketegangan kaum hanyalah isu yang tidak berasas. 

“Malah ramai tidak sedar masyarakat Bumiputera mewakili kelompok terbesar di ibu kota, hampir separuh daripada jumlah penduduk Kuala Lumpur,” katanya.

Justeru, jelas bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu, tiada lagi alasan munasabah untuk terus menangguhkan perkara ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tempoh lantikan Maimunah dipendekkan sehingga 15 November bagi memberi ruang kepadanya sebagai Penasihat Hartanah Petronas.

Beliau berkata, keputusan tersebut mengambil kira keperluan perkhidmatan, kepakaran dan pengalaman beliau dalam perancangan bandar berteras pembangunan lestari terutama ketika meneraju UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif.

Malahan katanya, pemendekan tempoh lantikan Maimunah yang mula berkhidmat di DBKL sejak 14 Ogos 2024 itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan