Thursday, June 4, 2026

Sindiket ‘Pade Ajak’ seludup migran tumpas di Kuala Selangor

Hasil siasatan awal mendapati sindiket “Pade Ajak” aktif beroperasi sejak awal 2023 dengan jaringan antara Malaysia dan Indonesia. 

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang dikenali sebagai “Pade Ajak” menerusi siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Selangor pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut dijalankan hasil risikan pihak JIM dan maklumat awam yang diterima sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan.

Menurut beliau, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA serta Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis yang dijadikan lokasi transit bagi migran sebelum diseludup keluar ke Indonesia secara haram. 

“Premis itu beroperasi di sebalik sebuah kedai runcit dan kedai makan, lengkap dengan kemudahan bilik tidur, dapur dan bilik air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil serbuan itu, sembilan warga Indonesia termasuk tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan. 

Turut diberkas dua transporter lelaki  masing-masing warganegara Nepal dan Indonesia yang bertanggungjawab mengangkut migran ke lokasi seterusnya.

Sebuah kenderaan Toyota Innova yang digunakan bagi mengangkut migran turut disita dalam operasi tersebut.

Zakaria berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah teres dua tingkat berhampiran lokasi pertama dan membawa kepada penahanan enam lagi migran warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun.

“Turut ditahan dua penjaga rumah, masing-masing seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki Nepal. Semua migran ditempatkan sementara di premis itu sebelum diseludup keluar melalui laluan laut tidak sah di perairan Kuala Selangor,” katanya.

Tambahnya, seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun yang dipercayai bertindak sebagai dalang utama sindiket turut diberkas bersama sebuah Perodua Alza dan sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil bayaran daripada migran.

JIM kini sedang mengesan pemilik premis warga tempatan yang disyaki bersekongkol dengan sindiket berkenaan kerana menyewakan rumah dan membenarkan premis digunakan sebagai pusat pengumpulan migran.

Siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

Zakaria menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati sindiket “Pade Ajak” aktif beroperasi sejak awal 2023 dengan jaringan antara Malaysia dan Indonesia. 

Sindiket itu menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan keluar migran melalui laluan tidak diwartakan dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,100 seorang.

“Keuntungan keseluruhan sindiket dianggarkan mencecah RM504,000 hasil kegiatan haram ini,” ujarnya.

Operasi tersebut turut melibatkan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Jelas Zakaria, JIM akan meneruskan siasatan lanjut terhadap semua individu yang ditahan bagi memastikan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Jabatan Imigresen Malaysia komited membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang. Tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang bersubahat,” tegasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi aduan JIM.

“Jabatan akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan