Thursday, June 4, 2026

Agong lawat Arab Saudi, Bahrain eratkan hubungan diplomatik

Lawatan berkenaan turut mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 1984.

Mesti Baca

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan berangkat mengadakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula esok.

Menurut kenyataan Istana Negara, keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi membuka lembaran baharu dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 68 tahun.

Lawatan berkenaan turut mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada tahun 1984.

“Semasa berada di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin AbdulazizAl-Saud di Istana Yamamah,” kata kenyataan itu hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi dan Bahrain akan turut diiringi paduka anakanda Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor,  Tunku Abu Bakar.

Turut serta, Menteri Pertahanan selaku Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Istana Negara berkata, lawatan negara itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Katanya, dalam tempoh 10 bulan tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Negara Tanah Suci itu juga merupakan rakan dagang ke-14 terbesar bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).

“Hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah,” katanya.

Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah haji dan umrah Malaysia saban tahun.

Selesai lawatan di Arab Saudi, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Bahrain pada 6 November atas persilaan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi lawatan negara yang julung kali diadakan sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 1974.

Katanya, Sultan Ibrahim dan Raja Hamad telah menjalin persahabatan akrab sejak sekian lama. 

Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain pada tahun 2017 sebagai Sultan Johor pada ketika itu.

Manakala Raja Hamad berkenan berangkat ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan

Agong pada tahun 2024.

“Malaysia dan Bahrain juga bekerjasama dalam pelbagai sektor, dengan jumlah nilai perdagangan sebanyak RM1.19 bilion (USDO.26 bilion) pada tahun lalu, selain penglibatan aktif di pentas antarabangsa menerusi

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk

(GCC-ASEAN),” katanya.

Seri Paduka Baginda, bertitah lawatan ke Arab Saudi dan Bahrain

merupakan kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala

Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat

rakyat serta negara.

“Pada lawatan negara saya ke Singapura, Brunei, China dan Rusia, saya sentiasa menekankan kepentingan kerjasama dan persahabatan erat

yang memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara kita.

“Arab Saudi dan Bahrain adalah dua negara yang amat dekat di hati saya serta mempunyai hubungan strategik yang penting. Saya mohon rakyat

Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan ini demi manfaat jangka panjang negara kita,” titah Seri Paduka Baginda dalam kenyataan itu. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan