Wednesday, July 22, 2026

Kemelut Bersatu: Wan Fayhsal diingat tidak jual nama Najib

Najib bertindak secara kolektif. Dia patuh pada keputusan parti. Tidak ada sebab Najib akan mendengar pujukan Hamzah kaki lompat dan pengkhianat UMNO - Mohd Puad Zarkashi

Mesti Baca

BEKAS Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal diingatkan agar tidak menjual nama Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ingatan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi selepas Wan Fayhsal mendakwa tindakan Najib menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan kerana dipengaruhi oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mohd Puad berkata, sebagai MKT beliau sering bersama Najib dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

“Najib bertindak secara kolektif. Dia patuh pada keputusan parti. Tidak ada sebab Najib akan mendengar pujukan Hamzah kaki lompat dan pengkhianat UMNO,” katanya hari ini.

Mohd Puad berkata, keputusan Najib dan UMNO adalah taktikal iaitu untuk menjatuhkan musuh-musuh parti itu satu persatu bermula dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0.

Beliau berkata, strategi itu benar apabila 17 bulan kemudian giliran Muhyiddin pula jatuh apabila lapan Ahli Parlimen UMNO termasuk Najib menarik sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Sebab itu Najib dan BN (Barisan Nasional) tidak pernah menyertai gabungan PN (Perikatan Nasional),” katanya.

Mohd Puad turut menasihati Wan Ahmad Fayhsal yang digantung keahlian Bersatu itu agar berhenti membuat pendedahan.

“Takut lagi banyak bohong. Pujuk 22 MP (Ahli Parlimen) Bersatu buat SD menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan