PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke Pahang atas nasihat pasukan perubatan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya berkata, lawatan yang dijadualkan hari ini, terpaksa dibatalkan pada saat akhir ekoran sakit belakang yang dialami Anwar.
“Pembatalan saat akhir ini dibuat atas nasihat pasukan perubatan setelah Perdana Menteri mengalami sakit belakang, yang menyebabkan pergerakan terbatas.
“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi,” kata kenyataan PMO hari ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.
Anwar baru tiba di ibu negara malam tadi setelah menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di Gyeongju, Korea Selatan.
Minggu lalu, beliau begitu sibuk melayani tetamu luar negara yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur. — Edisi 9

