Thursday, June 4, 2026

KPM laksana langkah tambahan tingkat keselamatan, disiplin murid

600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bagi meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama...

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan melaksanakan 11 langkah tambahan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan kelolaan kementerian itu.

KPM dalam kenyataannya berkata, antara langkah yang diambil termasuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang dikenal pasti di seluruh negara.

Menurut KPM, jumlah tersebut adalah tambah kepada peruntukan RM3 juta yang dipersetujui untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini.

Selain itu, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada bulan November 2025.

“Ia dapat membantu memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid,” kata kenyataan itu hari ini.

Seramai 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa pula akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bagi meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama sekaligus mengurangkan beban tugas Warden Asrama.

Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah juga akan diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah.

“PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM,” katanya.

Kata KPM, fungsi Smart Support Team di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis.

Di bawah usaha ini, guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah.

Sementara itu, peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin juga dipertingkat dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah.

“Pada waktu ini, peraturan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah dan membuang sekolah,” katanya.

Pengetua dan Guru Besar juga kini boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan.

“Pada waktu ini KPM sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid,” katanya.

Langkah-langkah tambahan lain termasuk teliti semula Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) bagi penambahbaikan bagi membolehkan sistem tersebut digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya.

Di bawah usaha ini, institusi pendidikan diminta memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.

Suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian. Justeru, sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit.

“Inisiatif ‘kotak suara murid’ adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” katanya.

Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah.

KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid.

“KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan aspek keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid.

“Semua pihak diseru untuk berkerjasama memastikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan dapat direalisasikan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan