DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelaksanaan Strategi Kebangsaan Antirasuah bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai inisiatif baharu kerajaan untuk memperkukuh budaya etika dan integriti dalam kalangan usahawan negara.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, strategi berkenaan diluluskan pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) Bilangan 1 Tahun 2025, yang dipengerusikan olehnya di Kuala Lumpur hari ini.
“Inisiatif ini akan menjadi pelengkap kepada Strategi Anti-Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, dengan matlamat membina persekitaran perniagaan yang bebas rasuah dan berdaya saing tinggi,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict; Timbalannya, Datuk R. Ramanan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Penasihat Khas MPUPK.
Menurut Zahid, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengetuai Pasukan Petugas Khas bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan strategi tersebut dengan sokongan SME Corp, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Antara perkara yang akan dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai platform utama untuk mempercepat dan menjimatkan kos pelaksanaan program anti-rasuah serta penyediaan Rangka Perniagaan Strategik (Business Model) bagi PMKS.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 yang disifatkannya sebagai inklusif kerana memberi manfaat kepada semua kategori usahawan termasuk koperasi, perusahaan sosial, francais dan komuniti penjaja.
“Dengan nilai keseluruhan RM50 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan kepada usahawan PMKS di bawah Belanjawan 2026, ia membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikan PMKS antara peneraju ekonomi serantau,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 39.5 peratus (RM652.4 bilion) pada tahun 2024 berbanding 39.3 peratus (RM616.6 bilion) pada tahun sebelumnya.
Sehingga 30 September 2025, KUSKOP melalui agensi di bawahnya telah menyalurkan RM7.96 bilion pembiayaan kepada 282,489 usahawan dan koperasi, manakala lebih 121,000 usahawan menerima bimbingan keusahawanan.
Dalam masa sama, 345 program pembangunan PMKS dengan nilai RM30.31 bilion telah memberi manfaat kepada lebih 609,000 penerima di seluruh negara tahun ini.
Mesyuarat turut dimaklumkan mengenai kemajuan Pelan Hala Tuju Memangkin Akses Bagi PMKS dan MTC ke Pasaran Modal (2024–2028) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang kini mencapai kadar pelaksanaan 42 peratus, melebihi sasaran tahunan 20 peratus.
Ahmad Zahid menegaskan, Kerajaan MADANI komited memperkukuh ekosistem keusahawanan berteraskan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus berkesan bagi memastikan pertumbuhan inklusif serta mampan.
“Sinergi antara kerajaan Persekutuan dan negeri, agensi pelaksana, sektor swasta serta komuniti usahawan amat penting bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI dan mencapai matlamat Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030),” katanya. — Edisi 9

