DIGITAL Art Gallery 2025 (DAG25): AI Artventure, pameran seni digital pertama yang menggabungkan kreativiti pelajar sekolah dengan kecerdasan buatan (AI) bakal berlangsung sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS25).
Pameran yang dianjurkan oleh Crave Asia Sdn. Bhd. itu akan berlangsung mulai esok hingga 26 Oktober ini di Dewan Balai Rong, Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak.
Menariknya, AI Artventure bakal menampilkan hasil karya seni pelajar sekolah dari seluruh Sarawak yang diolah semula oleh teknologi AI menjadi visual dinamik, dipaparkan di dinding digital interaktif lima meter, sekali gus menawarkan pengalaman imersif kepada pengunjung.
Ketua Sekretariat IDECS25, Amirrul Rizwan Mohd. Abd. Hafiz berkata, DAG25 bukan sekadar pameran seni, tetapi simbol aspirasi Sarawak.
“Dengan menggabungkan imaginasi generasi muda dan kuasa AI, kita membuktikan teknologi boleh bersifat inklusif, memberi inspirasi dan mendorong transformasi,” sempena pelancaran DAG25 hari ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman, IDECS25 (kiri) dan Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Crave Asia, Sean Tan.
Amirrul Rizwan berkata, inisiatif itu turut memperkukuh komitmen kerajaan negeri dalam memupuk bakat digital di peringkat akar umbi serta menjadikan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam bidang kreativiti, inovasi dan pertumbuhan digital mampan.
Pertandingan AI Artventure terbuka kepada pelajar dan orang ramai dengan tema “Green Planet” (Bumi Hijau), menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM15,000 yang ditaja oleh Wonderpark.

Antara hadiah utama termasuk Papan Interaktif iBoard 65” kepada sekolah dengan penyertaan terbanyak dan iPad untuk pelajar dengan karya AI paling kreatif. Semua peserta akan menerima e-sijil dan salinan digital hasil seni AI masing-masing.
Selain pameran utama, DAG25 turut menampilkan empat zon interaktif STEAM untuk menggalakkan kreativiti pelajar iaitu Zon Seni (Melukis & mewarna), Zon Kejuruteraan (Blok magnetik), Zon Pembinaan (Binaan Lego) dan Zon Kraftangan (Hasil manik & kraf kreatif)
Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti digital di Makeramai Playzone, termasuk permainan Nintendo Switch, pengalaman Realiti Maya (VR) dan aktiviti Pen 3D.
Pameran lima hari itu dibuka secara percuma kepada orang ramai dan bertujuan memupuk minat terhadap teknologi serta seni digital dalam kalangan masyarakat.
Mereka yang berminat menyertai pertandingan boleh menghantar karya seni masing-masing melalui laman www.aigenius.com.my/dag2025, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh di idecs.com.my atau laman sosial rasmi @idecs25. — Edisi 9

