SANAE Takaichi, tokoh politik beraliran konservatif yang digelar Iron Lady Jepun, mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara matahari terbit itu pada Selasa.
Takaichi, 64, memenangi undian Parlimen selepas mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) dan membentuk gabungan dengan parti pembangkang Japan Innovation Party (Ishin).
Beliau yang dikenali kerana ketegasan dan kekagumannya terhadap bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher, dianggap sebagai figura berprinsip tegas dalam politik Jepun.
Walaupun pelantikannya dilihat sebagai kemajuan besar bagi penyertaan wanita dalam politik negara itu, pemerhati berpendapat kejayaan Takaichi bukan lambang kemenangan feminisme, sebaliknya menegaskan pengaruh kuat golongan konservatif dalam LDP.
Sebagai anak didik kepada mendiang bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, Takaichi dijangka meneruskan dasar ekonomi ‘Abenomics’ yang menekankan perbelanjaan besar kerajaan dan pelonggaran monetari.
Namun, beliau kini berdepan cabaran getir termasuk memulihkan ekonomi perlahan, mengawal inflasi, serta menyatukan parti yang tercalar akibat skandal kewangan.
Takaichi juga dijangka mengekalkan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat serta memperkukuh keupayaan pertahanan negara di tengah-tengah ketegangan serantau.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini pernah memuji beliau sebagai “seorang pemimpin berwibawa dan bijaksana”.
Kini, dunia menantikan bagaimana ‘Iron Lady 2.0’ ini akan mengemudi Jepun menuju era baharu kepimpinan wanita yang berwibawa di pentas global. — Agensi

