Thursday, July 23, 2026

MCMC perkukuh kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut

Berdasarkan data MCMC, sebanyak 597 stesen pemancar terjejas sepanjang MTL 2024/2025, dengan 54.1 peratus daripadanya di Wilayah Timur.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dengan memperkukuh peranan sektor komunikasi, pos dan kurier agar kekal berfungsi ketika bencana.

Majlis peluncuran kesiapsiagaan yang disempurnakan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali, turut menyaksikan pentauliahan pasukan Emergency and Disaster Response Team (EDRT) MCMC sebagai sebahagian daripada Civil Defence Auxiliary (CDA) di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Program itu menghimpunkan pelbagai agensi pengurusan bencana termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MetMalaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pemain industri telekomunikasi, pos dan kurier.

“Berdasarkan data MCMC, sebanyak 597 stesen pemancar terjejas sepanjang MTL 2024/2025, dengan 54.1 peratus daripadanya di Wilayah Timur.

“Selain itu, sebanyak 147 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terkesan, melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Sarawak, Sabah dan beberapa negeri lain,” katanya.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan, MCMC membangunkan Rangka Kerja Pengurusan Bencana yang merangkumi tiga fasa utama iaitu kesiapsiagaan sebelum bencana, respon semasa bencana, dan pemulihan pasca bencana.

Langkah ini meliputi penilaian risiko menara komunikasi, pengenalpastian kawasan berisiko, penyediaan aset serta pelan kesinambungan liputan bagi menjamin komunikasi tidak terputus semasa bencana.

Rangka kerja berkenaan telah dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, pada 13 Oktober lalu bagi tujuan pelaksanaan di peringkat nasional.

Abdul Karim berkata, kerjasama erat dengan agensi utama dan pemain industri akan memastikan rangkaian komunikasi kritikal kekal berdaya tahan dengan gangguan minimum agar operasi menyelamat dan penyaluran maklumat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan