CADANGAN menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun disifatkan sebagai langkah bertanggungjawab dan perlu bagi melindungi kesejahteraan psikososial generasi muda.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya, Dr Mumtaz Aini Alivi berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen serius kerajaan dalam menangani kesan negatif penggunaan media sosial terhadap remaja yang masih belum mencapai tahap kematangan kognitif sepenuhnya.
Beliau menegaskan, langkah tersebut merupakan satu tanggungjawab penting negara untuk memastikan kesejahteraan psikososial generasi muda.
Menurut beliau, individu berusia 13 tahun masih belum mempunyai keupayaan mental yang cukup matang untuk menguruskan pendedahan terhadap algoritma media sosial yang direka bentuk bagi memanipulasi perhatian dan emosi pengguna.
“Pada usia ini, mereka masih dalam proses membentuk identiti diri dan amat mudah terpengaruh dengan kandungan yang dilihat di media sosial.
“Kegagalan menapis maklumat atau memahami kesan kandungan yang tidak sesuai boleh memberi impak negatif terhadap perkembangan emosi dan pemikiran mereka,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Beliau mengulas cadangan kerajaan memperketatkan penggunaan media sosial dengan menaikkan had umur kepada 16 tahun, berbanding 13 tahun yang disyorkan sebelum ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada bahaya dunia siber, termasuk eksploitasi seksual, buli siber dan kandungan tidak sesuai.
Menurutnya, cadangan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu dan kerajaan sedang meneliti mekanisme pendaftaran akaun media sosial menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, MyDigital ID atau pasport bagi mengesahkan identiti pengguna.
Mumtaz Aini yang juga Ahli Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) berkata, langkah menaikkan had umur turut membawa mesej tegas kepada syarikat teknologi bahawa tanggungjawab mengawal pendedahan media sosial tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu ibu bapa semata-mata.
“Ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan, ibu bapa dan penyedia platform perlu bekerjasama memastikan pelaksanaan verifikasi umur yang lebih ketat bagi melindungi pengguna bawah umur,” katanya.
Tambah beliau, dasar tersebut juga memberi ruang kepada ibu bapa dan sekolah untuk memperkukuh literasi media dalam kalangan pelajar sebelum mereka dibenarkan terlibat secara aktif dalam dunia digital.
“Apabila had umur dinaikkan, remaja akan lebih bersedia dengan kematangan emosi, empati sosial dan kawalan kendiri yang lebih baik. Mereka mampu menilai baik buruk sesuatu kandungan dan memahami implikasinya,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, usaha melindungi generasi muda daripada pengaruh negatif media sosial perlu didukung dengan dasar yang tegas, berpandangan jauh serta menekankan kesejahteraan rakyat.
“Generasi muda masih memerlukan kawalan dan bimbingan bagi membentuk jati diri serta kestabilan emosi mereka. Langkah ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina masyarakat digital yang lebih sihat dan beretika,” katanya. — Edisi 9

