EMPAT buah sekolah di Teluk Panglima Garang, Selangor disahkan terjejas dalam kejadian ribut yang berlaku petang semalam, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.
“Buat waktu ini semua sekolah terjejas akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Semoga seluruh warga sekolah diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Saya pastikan kerja baik pulih akan segera dilaksanakan di semua sekolah terjejas,” katanya hari ini.
Sebelum itu, Fadhlina telah melawat SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung yang terjejas untuk mengetahui sendiri keadaan di sekolah dan mendapatkan maklumat terkini tentang kerosakan.
“Pada waktu ini kerja pembersihan dan penilaian kerosakan sedang berjalan di semua sekolah terjejas. KPM memastikan kerja baik pulih akan segera dilaksanakan,” katanya.
Beliau menyeru jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pentadbir sekolah di seluruh negara meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cuaca tidak menentu pada ketika ini.
Katanya, ini bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan seluruh warga pendidikan terpelihara. – Edisi 9

