MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Radzil mengarahkan stesen-stesen televisyen dan radio seluruh negara menyiarkan rakaman bacaan Qunut Nazilah dalam slot-slot siaran utama.
Ini susulan tindakan kejam rejim Zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dan menahan aktivisnya termasuk rakyat Malaysia.
Fahmi berkata, doa dan solidariti rakyat Malaysia amat penting dalam menghadapi saat getir tersebut.
“Saya juga telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mempertingkat pemantauan terhadap segala kandungan berkaitan konflik ini di ruang siber Malaysia.
“Tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap sebarang cubaan untuk menyebarkan propaganda Zionis atau naratif yang bersifat hasutan, serta menjejaskan keharmonian dan sensitiviti awam,” katanya hari ini.
Sehingga kini difahamkan 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan tersebut telah ditahan pihak berkuasa Israel ketika kapal yang mereka naiki dihalang daripada menghampiri Gaza.
Antara yang telah ditahan termasuk dua artis tanah air iaitu Zizi Kirana dan Heliza Helmi selain pempengaruh media sosial, sukarelawan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Fahmi turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk merujuk maklumat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri dan sumber-sumber rasmi.
Ini termasuk saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan oleh MAPIM, bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau tidak sahih. — Edisi 9

