PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah rakyat Malaysia yang sah.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh kakitangan pentadbiran kepada badan induk dunia itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
“FAM mengambil serius perkara ini. Walau bagaimanapun FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, FAM dan tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA mendakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut memaklumkan bahawa isu mengenai kesahihan kelayakan pemain-pemain tersebut untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia telah dirujuk kepada Tribunal Bolasepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.
Sebelum itu, pencetus revolusi skuad kebangsaan, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan wujud cubaan daripada entiti luar untuk menggagalkan usaha memperkukuhkan skuad Harimau Malaya. – Edisi 9

