Tuesday, July 21, 2026

Dokumentasi tujuh pemain warisan tiada unsur rasuah – SPRM

Berdasarkan semakan awal, SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini.

Mesti Baca

ISU dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) disahkan tidak mempunyai unsur rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan isu yang menggegarkan sukan bola sepak negara itu.

“Berdasarkan semakan awal, SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini.

“Selain itu, tiada sebarang asas kesalahan yang dikenal pasti di bawah Akta SPRM 2009 setakat ini,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, SPRM berkata, pihaknya tidak akan berhubung dengan pihak FIFA dan menyerahkan sepenuhnya isu tersebut kepada pihak FAM untuk diselesaikan bersama badan induk dunia itu.

SPRM juga menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat.

Jumaat lalu, FAM dan tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA mendakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan