SERAMAI 10 orang pemimpin komuniti dan pegawai kerajaan dari Timor-Leste menjalani latihan di Institut Kemajuan Desa (INFRA) berhubung pemerkasaan masyarakat luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan Timor-Lesta dalam Course on Empowering Community Leaders Towards Sustainable Rural Development itu ia hasil lawatan beliau ke negara tersebut pada Ogos tahun lalu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sepanjang kursus yang berlangsung mulai hari ini sehingga 28 September, mereka akan mengikuti ceramah berkaitan dasar dan struktur pentadbiran negara.
Selain itu, menurut beliau, para peserta juga menjalani sesi pembangunan komuniti, belia dan wanita, selain lawatan ke institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), inap desa luar bandar serta mengikuti aktiviti kebudayaan dan kraftangan desa.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa pengalaman Malaysia dalam pembangunan luar bandar terus menjadi rujukan serantau dan kerjasama ini memperkukuhkan lagi hubungan erat Malaysia-Timor-Leste.
“Inilah simbol kerjasama dua negara serantau yang menunjukkan model pembangunan desa Malaysia diiktiraf dan dijadikan rujukan oleh negara jiran,” katanya menerusi media sosial hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada INFRA yang telah merealisasikan usaha tersebut dengan penuh komitmen dan dedikasi.
“Saya mendoakan semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat besar kepada para peserta, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu demi kemajuan desa yang lebih lestari.
“Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak inisiatif serantau demi kesejahteraan bersama,”katanya. – Edisi 9

