Thursday, July 23, 2026

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah nikah 2 Oktober ini

Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja pula akan diadakan pada 22 Oktober 2025.

Mesti Baca

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangan baginda, Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz pada hari Khamis, 2 Oktober ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di Klang.

Beliau berkata, Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober 2025.

“Sehubungan dengan itu, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September 2025 bersamaan 3 Rabi’ul Akhir 1447H di seluruh masjid di negeri Selangor yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor bagi memohon doa semoga Istiadat Perkahwinan dan Majlis yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada tarikh berkenaan, katanya, Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di Shah Alam.

Tengku Amir Shah, 34, dilahirkan di San Francisco, Amerika Syarikat pada 12 Disember 1990 dan mendapat pendidikan di University of Leeds, United Kingdom.

Baginda ditabal sebagai Raja Muda Selangor pada 3 Mei 2002. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan