Tuesday, July 21, 2026

BUDI95 pastikan subsidi RON95 hanya untuk rakyat – Anwar

Bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi berkenaan dan akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Mesti Baca

MALAYSIA akan beralih kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 bermula 30 September ini menerusi pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu membolehkan rakyat Malaysia menikmati petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, lebih rendah berbanding harga semasa RM2.05 seliter.

“Kerajaan MADANI telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia. Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat,” katanya hari ini.

Anwar berkata, melalui kaedah tersebut, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi berkenaan dan akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Jelas beliau, semua warganegara yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik menikmati BUDI95, dengan had penggunaan sehingga 300 liter sebulan.

“Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu e-panggilan dikecualikan daripada had kelayakan 300 liter sebulan dan boleh memohon tambahan kuota bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Pelaksanaan program itu, katanya, turut dipermudah dengan penggunaan MyKad sebagai pengesahan, selain opsyen digital melalui e-dompet Touch ‘n Go, Setel oleh Petronas serta CaltexGo.

Dalam pada itu, Anwar berkata, BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 27 September kepada anggota tentera dan polis, 28 September kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

BUDI95 dibuka sepenuhnya pada 30 September kepada kira-kira 16 juta warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan