PARA pelajar serta seluruh warga Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang kini menarik nafas lega apabila dapat menikmati internet berkelajuan tinggi sejak Julai lalu.
Terima kasih Kementerian Komunikasi, terima kasih Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ini susulan projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dilaksanakan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan MCMC mula beroperasi sejak 14 Julai lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, projek Wi-Fi itu bagi memperkukuh capaian Internet berkelajuan tinggi di kampus IPTA seluruh negara.
“Penyediaan kemudahan rangkaian yang lebih stabil dan menyeluruh untuk kegunaan pelajar serta warga IPTA ini sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI ke arah memperluas ketercapaian digital kepada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu Fahmi mengadakan kunjungan ke Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang bagi meninjau projek Wi-Fi IPTA itu hari ini.
Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
Fahmi berkata, sehingga kini pihak pengurusan polieteknik tersebut memberikan maklum balas positif terhadap keberkesanan capaian yang membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran digital, operasi pentadbiran serta aktiviti penyelidikan.
“MCMC akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan tahap kualiti perkhidmatan yang disediakan menepati keperluan semasa dan memberikan impak maksimum kepada warga kampus,” katanya.
Sementara itu, Fahmi turut meluangkan masa beramah mesra bersama 70 pelajar politeknik yang menyertai Kempen Internet Selamat (KIS), termasuk peserta yang hadir secara dalam talian.
Modul yang dibangunkan itu bertujuan memperkasa golongan belia dalam aspek keselamatan siber dan literasi digital dengan tumpuan kepada empat isu utama.
Keempat-empat isu tersebut memberi impak besar kepada kehidupan belia iaitu penipuan dalam talian, buli siber, risiko perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan serta penyebaran maklumat palsu. — Edisi 9

