Wednesday, July 22, 2026

Tiada negara selamat daripada ancaman Zionis Israel – Anwar

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan dunia bahawa tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman Zionis Israel.

Menurut Perdana Menteri, serangan terhadap Qatar jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. 

Tegas beliau, Zionis bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya. 

“Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini. 

“Kita berdiri teguh bersama Qatar dan Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan serta keadilan,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Anwar berangkat ke Doha, Qatar bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di sana.

“Insya-Allah, esok saya akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab Zionis Israel,” katanya.

Beliau berkata, inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam, dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan, dan menjamin keselamatan sejagat.

“Saya juga akan tegaskan sekali lagi, Malaysia tidak akan tunduk, tidak akan goyah, dan berdiam diri selagi penindasan ini berterusan. 

“Malaysia tetap berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi,” katanya.

Dalam kejadian 9 September lalu, kota raya Doha di Qatar digegarkan dengan satu serangan udara yang dilakukan oleh Zionis Israel.

Serangan tersebut mengorbankan enam orang termasuk anak lelaki pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya selain seorang pegawai, pengawal peribadi dan pengawal keselamatan Qatar.

Tindakan ganas Israel itu didakwa ditujukan kepada pemimpin politik Hamas di Doha yang dikatakan menghadiri mesyuarat bagi membincangkan pelan gencatan senjata Amerika Syarikat (AS). 

Seluruh dunia mengutuk serangan tersebut yang dianggap melampau dan tidak berperikemanusiaan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan