PANGKALAN Udara Butterworth, Pulau Pinang bakal menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menerusi projek Fibre-to-the-Home (FTTH) yang sedang giat dilaksanakan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kem berkenaan merupakan antara lokasi utama dalam Kluster 1 (Utara) yang diberi keutamaan di bawah pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 11 Oktober tahun lalu.
“Projek ini merangkumi 73 kem tentera di seluruh negara, melibatkan lebih 59,000 unit RKAT,” katanya selepas meninjau perkembangan projek FTTH itu hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md. Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
Beliau berkata, setakat ini pelaksanaan berjalan lancar di bawah DUSP Part 1 oleh Stealth Solutions dan DUSP Part 2 oleh TM Technologies Services.
Menurut Fahmi, warga ATM berpeluang melanggan pakej Perajurit Broadband dengan harga mampu milik, iaitu RM49 sebulan bagi kelajuan 100Mbps, selain tawaran pengenalan hanya RM39 sebulan untuk enam bulan pertama.
“Warga ATM dan keluarga di Pangkalan Udara Butterworth boleh memanfaatkan kemudahan ini untuk meningkatkan kualiti hidup, menyokong pendidikan anak-anak serta memperkukuh kesejahteraan keluarga tentera, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus digital,” katanya.
MCMC, katanya, akan terus memantau pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan ia mematuhi piawaian ditetapkan serta memberi manfaat maksimum kepada warga tentera. — Edisi 9

