Wednesday, July 22, 2026

Cubaan 33 PATI pulang ke negara asal lewat ‘belakang’ gagal

Bot fiber terbabit enggan berhenti walaupun sudah diarahkan, sehingga berlaku aksi kejar-mengejar hampir 10 minit sebelum berjaya ditahan sekitar 5.5 batu nautika barat Tanjung Karang.

Mesti Baca

CUBAAN 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang ke negara asal melalui ‘pintu belakang’ gagal apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, ia selepas kejayaan pihaknya memintas sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan kira-kira pukul 11.10 malam.

Beliau berkata, kejayaan tersebut hasil risikan serta maklumat awam sebelum pasukan rondaan digerakkan di bawah Op Ehsan, Op Tiris dan Op Patkor Optima Malindo 32/25.

“Bot fiber terbabit enggan berhenti walaupun sudah diarahkan, sehingga berlaku aksi kejar-mengejar hampir 10 minit sebelum berjaya ditahan sekitar 5.5 batu nautika barat Tanjung Karang,” katanya hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemui 21 lelaki berusia 22 hingga 50 tahun termasuk seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun; 12 wanita berusia 25 hingga 63 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun. 

Kesemua mereka berhimpit di dalam bot tersebut.

Bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang cuba membawa 33 PATI keluar dari negara ini di perairan Tanjung Karanf, Selangor malam tadi.

Abdul Muhaimin berkata, semua PATI gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan bersama bot fiber terbabit.

“Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan caj sekitar RM1,500-RM2,500 bagi setiap PATI, bergantung kepada jarak lokasi perjalanan”, jelasnya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana cubaan keluar melalui laluan tidak diwartakan, manakala tekong berkenaan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kesemua tahanan bersama bot telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sebarang kegiatan mencurigakan di laut melalui talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan