TIGA lelaki ditahan berhubung insiden menyebabkan kecederaan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru di ibu negara hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tiga lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, Sulizmie Affendy telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadannya dilaporkan baik.
“Keadaan beliau dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat. Beliau mengalami luka dalam penugasan operasi berkenaan.
“Saya percaya beliau mendapat rawatan sempurna,” katanya lapor Sinar Harian.
Tambah Mohd Khalid, tindakan yang dilaksanakan pihak berkuasa adalah mengikut dasar undang-undang.
Jelasnya, insiden berkenaan merupakan suasana yang mungkin merasakan tidak puas hati pihak terbabit.
“Kita menguatkuasakan undang-undang disebabkan mahkamah sudah mengeluarkan perintah, pampasan sudah dibayar dan sebagainya.
“Mungkin ada sedikit perkara yang tidak memuaskan hati pihak tertentu (sehingga menyebabkan kekecohan).
“Keselamatan negara dan di kawasan kampung berkenaan adalah baik dan terkawal.
“Kita juga sentiasa meningkatkan pengawasan dan sebagainya bagi memastikan Kuala Lumpur dan kawasan berkenaan berada dalam keadaan yang baik dan selamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menasihatkan sebagai sebuah negara yang harmoni, masyarakat supaya mengekalkan ketenteraman dan keselamatan semua pihak.
“Jangan bertindak membuta tuli. Pastikan maklumat yang diterima dan sebagainya daripada sumber yang sahih dan benar supaya perkara yang berlaku itu dapat diawal dengan baik dan sempurna,” katanya.
Dalam kejadian hari ini, Suzilme Affendy cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru tersebut.
Menurut laporan media, beliau cedera susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
Terdahulu, operasi pengosongan bangunan kecoh seketika apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.
Operasi berkenaan dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Tindakan itu diambil susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.

