Thursday, June 4, 2026

Kabinet setuju asingkan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

Bagi tujuan itu, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan - Azalina Othman Said

Mesti Baca

KABINET hari ini bersetuju secara prinsipnya dengan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya secara sepenuhnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina berkata, keputusan tersebut diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.

“Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.

“Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju pelaksanaan itu dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.

Justeru, jelas beliau, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama Jabatan Peguam Negara akan meneruskan peranan selanjutnya untuk memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan.

Pasukan tersebut turut melibatkan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada,” katanya.

Jelas beliau, langkah tersebut merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan MADANI, bagi mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan
meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan