HOSPITAL baharu Kemaman yang mengalami kelewatan hampir lapan tahun dijangka memerlukan sekurang-kurangnya setahun lagi untuk disiapkan.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bergantung kepada kontraktor yang diberi tanggungjawab benar-benar menunjukkan kesungguhan dan komitmen.
“Projek yang diluluskan sejak Belanjawan 2016 ini sepatutnya menjadi mercu tanda baharu perkhidmatan kesihatan di daerah ini.
“Namun sehingga kini, hanya 84 peratus siap, selepas diberikan lapan kali lanjutan masa (EOT) berjumlah lebih 1,300 hari,” katanya.
Beliau sebelum itu meninjau pembangunan projek hospital baharu daerah Kemaman di Bandar Baharu Kijal di Kemaman, Terengganu hari ini.
Dzulkefly berkata, hospital sedia ada di Kemaman kini menanggung beban dengan kadar penggunaan katil (BOR) melebihi 90 peratus secara konsisten.
Keadaan ini, jelas beliau, menuntut penyelesaian segera agar rakyat mendapat akses rawatan dalam suasana yang lebih selesa, berkualiti dan selamat.
Dzulkefly berkata, KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana serta pentadbir kontrak bagi memastikan langkah-langkah tuntas diambil, agar proses pembinaan projek ini dapat dipercepatkan.
“Keutamaan diberikan kepada kepentingan serta kebajikan rakyat setempat yang telah sekian lama menantikan kemudahan ini.
“Hospital ini mesti disiapkan demi kesejahteraan warga Kemaman dan kawasan sekitarnya,” kata beliau.
Sehubungan itu, Dzulkefly beriltizam untuk memastikan kelewatan berpanjangan tersebut akhirnya menemui titik noktahnya. — Edisi 9

