Friday, June 5, 2026

Pelaksanaan SARA lancar, aduan peniaga naikkan harga disiasat

Mesti Baca

KERAJAAN mengambil maklum mengenai hantaran-hantaran dalam media sosial yang mendakwa segelintir peniaga menaikkan harga barangan di bawah pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sekiranya perkara itu berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan. 

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

“Kerajaan MADANI akan menyiasat aduan bahawa terdapat kenaikan harga barang susulan pelaksanaan Penghargaan SARA.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat,” kata beliau dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada KPDN untuk membolehkan siasatan segera dilaksanakan. 

Katanya, aduan  boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN di https:/eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp di 019-848 8000, atau pusat talian di 1-800-886-800.

Sementara itu, pelaksanaan SARA yang masuk hari kelapan semalam berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM102.5 juta, melibatkan 1.7 juta penerima setakat jam 9.30 malam. 

Amir Hamzah berkata, kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus bagi dua hari berturut-turut.

“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan