PELUNCURAN Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah dapat memperkukuhkan kesiapsiagaan komunikasi semasa bencana di negeri itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, ia dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan sokongan dron.
“PRIME berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan.
“Setakat ini, dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025,” katanya.
Peluncuran PRIME itu berlangsung sempena program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam, Tawau hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
Terdahulu, Fahmi turut meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai, Tawau.
Menara tersebut mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.
Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara tersebut menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G dan memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk.
Sempena program tersebut, turut berlangsung sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan seperti aktiviti perkhidmatan pintar, Jualan Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pameran oleh usahawan NADI.
Turut diadakan, penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI (PERMAI) Pelajar Cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU)
Juga diadakan penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu. — Edisi 9

