TAWARAN perkhidmatan upah haji atau badal haji sehingga serendah RM1,500 yang diiklankan menerusi media sosial mahupun secara fizikal di masjid dan surau adalah tidak munasabah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, ini kerana harga terendah yang ditetapkan untuk pakej haji bagi tahun 1446H lalu bagi penduduk tempatan bermula sekitar SR10,000 (RM11,300) yang merangkumi permit kebenaran serta khemah di Masyair.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu tidak termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung seperti pengangkutan udara atau darat, penginapan, makanan di Mekah serta Madinah dan lain-lain.
Justeru, beliau berkata, dengan kos yang dikenakan terhadap penduduk tempatan tersebut, adalah mustahil khidmat badal haji boleh dilakukan di bawah kos berkenaan.
“Justeru, rakyat Malaysia perlulah bijak untuk menilai tawaran perkhidmatan sehingga serendah RM1,500 yang diiklankan agar tidak tertipu.
“TH menyarankan kepada mereka yang ingin melaksanakan badal haji supaya tidak mudah mempercayai iklan penyediaan perkhidmatan badal haji secara komersial bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustakim mengingatkan agar umat Islam di negara ini menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang tawaran perkhidmatan badal haji yang diiklankan oleh mana-mana agensi pelancongan mahupun individu bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata, ini kerana setiap tahun menjelangnya permulaan operasi haji akan ada segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengiklankan pelbagai tawaran pakej badal haji secara meluas sama ada secara fizikal di pelbagai premis termasuk surau dan masjid atau pemasaran tular di platform media sosial.
Beliau berkata, kebanyakan iklan pakej badal haji tersebut ditawarkan dengan harga yang tidak munasabah dan lebih rendah daripada kos pakej haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada penduduk tempatan.
Malahan, jelasnya, penduduk tempatan Arab Saudi juga hanya dibenarkan untuk menunaikan haji hanya sekali untuk setiap lima tahun.
Selain itu, katanya, terdapat juga unsur penipuan yang berlaku semasa pelaksanaan haji di mana nisbah jumlah pelaksana dan jumlah peserta badal haji adalah tidak seimbang di mana ada yang mengambil upah badal haji sehingga 200 orang untuk seorang pelaksana.
“Ini jelas bertentangan dengan peraturan dan menyalahi syariat seperti yang digariskan dalam ajaran agama Islam,” katanya.
TH juga menekankan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat .
Katanya, sekiranya jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit yang tidak sah akan berdepan hukuman denda, penjara dan akan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun. — Edisi 9

