PERSARAAN Cikgu Aznan Abas yang telah berbakti kepada dunia pendidikan lebih tiga dekad di Terengganu mencipta sejarah Malaysia apabila majlis meraikannya berlangsung di dasar laut.
Majlis dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Majlis Persaraan Bawah Laut Pertama.
Berlangsung di dasar laut Pulau Redang, Terengganu Cikgu Aznan yang juga pakar pendidikan luar dan rekreasi itu lengkap berbaju tema Melayu, melakukan aksi simbolik memasukkan kad buat kali terakhir ke dalam mesin pengetik waktu dengan latar kain rentang khas di dasar laut.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, penganjuran majlis bersejarah itu membuktikan UPSI sentiasa berinovasi dalam meraikan jasa dan sumbangan warga pendidik.
“Majlis ini adalah bukti bahawa penghormatan kepada pendidik boleh diraikan dengan penuh kreativiti dan memberi impak besar kepada masyarakat.
“Kita mahu menunjukkan bahawa penghargaan tidak semestinya bersifat formal di dewan, tetapi boleh dilakukan dengan cara luar biasa yang akan dikenang sepanjang hayat,” katanya pada majlis itu baru-baru ini.

Siti Nurhanim Mohd Noh (dua dari kanan) menyampaikan sijil pengiktirafan MBOR kepada Aznan Abas sambil disaksikan oleh Norkhalid Salimin (tiga dari kanan) dan Omar Firdaus (kanan) di Pulau Redang, Terengganu.
Menurut beliau, selain mengangkat martabat profesion perguruan, majlis itu juga menjadi wadah untuk memupuk rasa bangga dalam kalangan alumni dan komuniti pendidikan terhadap UPSI.
“Ia membuktikan kita bersedia keluar dari kebiasaan demi menghasilkan sesuatu yang unik, bersejarah dan membanggakan.
“Pengiktirafan oleh MBOR ini mengukuhkan lagi jenama UPSI sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja unggul dalama akademkk, tetapi juga kreatif dan progresif dalam meraikan pencapaian warganya,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said berkata, pihaknya komited menganjurkan acara berimpak tinggi yang mampu memberikan inspirasi dan mengekalkan hubungan erat antara alumni dan universiti.
“Kami mahu setiap penghargaan kepada warga UPSI dirancang dengan teliti, berbeza dan menyentuh hati.
“Idea ini juga selari dengan misi Pusat Alumni untuk memastikan alumni merasa dihargai bukan sekadar ucapan terima kasih, tetapi melalui pengalaman yang memberi kenangan mendalam.
“Kami percaya cara ini akan mengukuhkan semangat kekitaan dan kebanggaan terhadap alma mater,” ujarnya.
Pengiktirafan MBOR disampaikan oleh wakil rasmi, Siti Nurhanim Mohd Noh, dalam satu upacara ringkas yang turut dihadiri alumni, pegawai Jabatan Taman Laut Malaysia, penyelam profesional dan rakan-rakan Cikgu Aznan. — Oleh Bazli Razak/Edisi 9

