SEMUA pemimpin Barisan Nasional (BN) terutama dari UMNO, MCA dan MIC digesa bertenang dan kembali ke meja rundingan sebagai sebuah besar bagi merungkai sebarang kemelut yang ada.
Gesaan itu disuarakan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah susulan pertikaman lidah dalam media sosial antara para pemimpin parti komponen tersebut.
Beliau berkata, kesemua parti komponen BN sama ada UMNO, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) saling memerlukan antara satu sama lain dan sudah lama bersahabat ketika senang mahupun susah.
“Rakyat sedang melihat kita, bagaimana kita selesaikan hal rumah kita secara berhemah dan penuh semangat setiakawan.
“Saya yakin kepimpinan tertinggi parti boleh menyelesaikan isu adik beradik BN ini di meja rundingan.

“Saya harap janganlah ada diantara kita yang hentam satu sama lain secara terbuka kerana ini hanya akan menghantar isyarat yang tidak baik pada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armand Azha berkata, rakyat kini ingin melihat parti mana yang benar-benar stabil untuk menerajui negara dan isyarat itu amat penting serta perlu bermula dengan BN.
“Jangan ada pemikiran batu api yang hanya nak pecah belahkan parti hanya kerana mencari populist diri dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati sahabat-sahabat kita dalam BN.
“Puluhan tahun kita berjuang bersama daripada mencapai kemerdekaan, membina, membangun, memoden dan memajukan Malaysiq ini sudah tertulis dalam sejarah negara kita yang tidak mungkin terpadam,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua kepimpinan utama parti memastikan akar umbi perlu bertenang dan bersabar.
“Jangan serang antara satu sama lain, berikan keyakinan pada pucuk pimpinan cari titik pendamaian dan penyatuan,” katanya. — Edisi 9

