BALAI Seni Negara menghidupkan semula legasi tokoh pelukis dakwat Cina dan pendidik seni berpengaruh di Malaysia, mendiang Chung Chen Sun menerusi pameran dan katalog Projek Arkib yang berlangsung pada 5 Ogos sehingga 1 September ini.
Sebagai edisi ketiga dalam siri Projek Arkib anjuran Balai Seni Negara, pameran tersebut menghimpunkan pelbagai bahan dokumentasi penting seperti foto, lakaran, katalog dan rakaman wawancara yang memberikan gambaran menyeluruh tentang proses kreatif dan pemikiran seni Chen Sun.
Selain karya dakwat Cina yang menjadi identiti mendiang, turut dipamerkan adalah lukisan minyak dan pastel yang jarang dipaparkan kepada umum, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian teknik serta evolusi gaya seni beliau sepanjang kerjaya.
“Sebagai salah seorang pengasas Malaysian Institute of Art (MIA), Chen Sun telah memberikan sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang seni lukis, malah turut memperkasa bidang pendidikan seni di Malaysia,” kata Balai Seni Negara dalam kenyataan.
Katanya, melalui pelbagai bahan arkib yang dihimpunkan, pameran tersebut bukan sahaja menjadi rujukan penting dalam sejarah seni, malah memperluas pemahaman tentang peranan dan sumbangan mendiang dalam membentuk landskap seni tempatan, khususnya dalam konteks sejarah dan budaya Malaysia.
Pameran tersebut disusun berdasarkan falsafah Konfusianisme sebagai kerangka utama, mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjiao atau Tiga Ajaran yang menggabungkan elemen Daoisme, Konfusianisme dan agama Buddha dalam karya serta pemikiran mendiang.
Tema pameran dibahagikan kepada enam segmen, merangkumi perjalanan mendiang dari peringkat nasional ke antarabangsa, pertukaran budaya dan seni antara Malaysia dan China, modenisasi lukisan dakwat yang menggabungkan pendekatan seni Timur dan Barat, peranan beliau dalam pendidikan seni, sisi peribadi dan kekeluargaan, serta sumbangan beliau sebagai penderma karya seni.
Pembahagian ini memberikan struktur yang lebih jelas dan memudahkan pengunjung menyelami keseluruhan naratif pameran.
Selain itu, Balai Seni Negara turut bekerjasama dalam penerbitan buku Chung Chen Sun: Seventy Years of Art, yang diterbitkan sempena ulang tahun kelahiran ke-90 mendiang, sebagai tanda penghormatan terhadap pengaruh dan warisan seni Chen Sun.
Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun bukan sekadar menelusuri perjalanan seni seorang tokoh, tetapi turut menghubungkan seni, pendidikan dan budaya dalam ruang pengalaman yang penuh makna.
Para pengunjung berpeluang menyelami warisan seni dan pemikiran intelektual beliau melalui naratif serta pendekatan pameran yang menyeluruh.
Orang ramai dijemput untuk mengunjungi dan menghayati pameran ini yang berlangsung sehingga 1 September 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara. Masuk adalah percuma.
Majlis perasmian pameran dan katalog Projek Arkib: Chung Chen Sun disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) – Edisi 9

