Friday, June 5, 2026

AIC sanjung peranan Anwar dalam usaha perdamaian serantau

Perdana Menteri turut mempamerkan keberanian moral dan kepimpinan berprinsip dalam menjunjung semangat diplomasi, rundingan dan nilai kemanusiaan.

Mesti Baca

ANWAR Ibrahim Club (AIC) merakamkan penghargaan terhadap pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas peranannya yang signifikan dalam memediasi konflik antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini.

AIC dalam kenyataan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai lambang keberanian moral dan kepimpinan berprinsip yang ditunjukkan oleh Anwar, bukan sahaja sebagai ketua kerajaan Malaysia, malah sebagai Pengerusi ASEAN yang berwibawa.

“Perdana Menteri bukan sahaja berjaya membawa dua negara jiran ke meja rundingan, malah turut mempamerkan keberanian moral dan kepimpinan berprinsip dalam menjunjung semangat diplomasi, rundingan dan nilai kemanusiaan,” kata kenyataan kelab itu hari ini.

Kelab itu mengulas persetujuan Thailand dan Kemboja melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya kelmarin.

Persetujuan itu diumumkan oleh Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja di Kompleks Seri Perdana yang turut dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Langkah diplomasi yang diterajui oleh Anwar telah menerima pujian terbuka daripada kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, China, Jepun, Australia, Belanda, Kesatuan Eropah dan Pakistan.

Pengiktirafan turut datang dari rakan serantau seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Brunei.

AIC menyifatkan penghargaan itu sebagai bukti bahawa Malaysia kini dilihat sebagai kuasa sederhana yang berperanan penting dalam geopolitik serantau dengan diterajui oleh seorang pemimpin yang berintegriti dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“AIC percaya bahawa kejayaan ini adalah manifestasi kepada dasar luar negara yang matang, berpandangan jauh dan berani menyuarakan kebenaran,” ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, AIC turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus berdiri teguh di belakang Anwar demi memastikan suara Malaysia terus dihormati dan relevan di pentas dunia.

AIC berkata, kepimpinan yang memperjuangkan keadilan, damai dan nilai-nilai kemanusiaan adalah wajah sebenar Malaysia MADANI yang kini menjadi perhatian dan kebanggaan masyarakat antarabangsa. – Edisi 9

Related posts:

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan