Thursday, June 4, 2026

Tiga faktor kejayaan Malaysia henti sengketa Thailand-Kemboja

Pengalaman Malaysia memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam krisis serantau juga menjadi penyebab gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja begitu cepat diselesaikan.

Mesti Baca

TINDAKAN pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN menghubungi rakan-rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja menjadi salah satu daripada tiga faktor kejayaan konflik kedua-dua negara dapat dihentikan dengan segera, kata seorang penganalisis.

Pakar geostrategik, Prof Azmi Hassan berkata, tindakan Anwar yang mengajak Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Hun Manet dari Kemboja berbincang pada hari pertama krisis berlaku merupakan satu langkah paling penting.

Katanya, tindakan pantas Malaysia menyebabkan ketegangan kedua-dua negara di sempadan berakhir di meja rundingan pada hari ketiga krisis, iaitu sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masuk campur.

“Pengerusi ASEAN (Anwar) pada hari pertama telah menghubungi kedua-dua pemimpin negara itu dan ajak berbincang antara satu sama lain, umpamanya melalui Jawatankuasa Bersama Sempadan atau berbincang secara terus.

“Hari ketiga berjaya (gencatan senjata) dan hari keempat Trump baru masuk campur dalam hal ini. Itu yang dikatakan kelebihan pertama (kepada Anwar),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas persetujuan Thailand dan Kemboja melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya semalam.

Persetujuan itu diumumkan oleh Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja di Kompleks Seri Perdana yang turut dihadiri Hun Manet dan Wechayachai.

Azmi berkata, pengalaman Malaysia yang sebelum ini banyak memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam krisis serantau juga menjadi penyebab gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja begitu cepat diselesaikan.

Misalnya, kata beliau, Malaysia membuktikan bahawa kita menjadi pemudah cara yang adil dalam sehingga berjaya membentuk wilayah Bangsa Moro, krisis di Acheh serta selatan Thailand.

“Jadi ini memberi kekuatan kepada Perdana Menteri Thailadn dan Kemboja untuk berbincang dengan Anwar sebelum Trump masuk campur pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana mereka sedar jika Trump masuk campur, mereka tidak mempedulikan soal sensitiviti antara kedua-dua negara sebaliknya lebih utamakan kekerasan.

“Kalau Trump masuk campur dia akan gertak sahaja tanpa hirau sensitivti. Kita sebagai negara Asia Tenggara lebih memahami isu sensitiviti dan bila diletakkan kepada Anwar, berjaya meletakkan senjata dengan begitu pantas,”katanya.

Azmi berkata, strategi Anwar yang memanggil kuasa besar China dan AS juga amat tepat memandangkan beliau tahu kedua-dua negara ini mempunyai pengaruh amat besar terhadap Thailand dan kemboja.

Walaupun begitu, kejayaan Malaysia berjaya mengawal situasi dan bukannya AS atau China membuatkan isu di sempadan Thailand-Kemboja berjaya diselesaikan dengan segera.

Mengenai tindakan pembangkang yang memperlekeh kejayaan Anwar tersebut, Azmi berkata itu adalah bermotifkan politik.

Katanya, Trump sendiri menerusi media sosialnya memuji diri sendiri sebagai bertanggungjawab membawa kepada gencatan senjata tanpa menyebut langsung peranan Malaysia.

“Bagi Trump, kejayaan gencatan senjata hasil usaha beliau. Kalau pembangkang memperlekehkan (usaha Anwar), Trump tanpa segan silu mengaku dan merasakan Perdana Menteri telah manoeuvre Trump dalam hal ini,” katanya.

Azmi berkata, langkah Anwar mempertimbangkan untuk menghantar pasukan peninjau di sempadan Thailand-Kemboja bukan satu masalah besar.

Ini kerana katanya, Malaysia sudah sering menghantar pasukan pengaman baik ke Lubnan, Timor Leste, Mindanao dan itulah yang diharapkan oleh Thailnad sebagai jaminan gencatan senjata dipatuhi oleh Kemboja. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan