Tuesday, July 21, 2026

Dr Akmal selar pihak samakan Anwar dengan monyet

Saya bukan walanon ataupun walaun dan tidak berminat nak jadi seperti itu, saya hanya menyatakan apa yang ada di dalam hati kerana jangan kita menjadi fitnah kepada Islam. - Dr Akmal Saleh

Mesti Baca

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyelar pihak-pihak yang memperlekehkan usaha awal Datuk Seri Anwar Ibrahim mendamaikan sengketa antara Thailand dan Kemboja sehingga sanggup menyamakan Perdana Menteri dengan binatang.

Dr Akmal berkata, rakyat mahukan politik matang yang membina, bukan dengan politik sempit yang merendahkan akal fikiran.

“Ada yang membaca doa Qunut Nazilah utk kehancuran beliau (Anwar) walaupun sesama agama (Islam).

“Ada yang menyamakan beliau dengan monyet dan pemimpin negara asing lain seperti binatang sedangkan perbincangan itu adalah untuk menyelamatkan ribuan nyawa rakyat akibat peperangan antara dua negara,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Beliau mengulas tindakan ahli politik pembangkang yang membuat hantaran dalam media sosial yang menggambarkan dua ekor kambing sedang berebut pisang sambil dileraikan oleh seekor monyet.

Hantaran seorang ahli politik pembangkang dipercayai memperlekeh Anwar dalam isu sengketa Thailand dan Kemboja.

Hantaran berbentuk kartun itu dipercayai berkaitan dengan usaha damai yang dilakukan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN berkaitan sengketa antara Thailand dan Kemboja. 

Dr Akmal berkata, berbeza pendapat dalam politik itu perkara biasa, marah kepada lawan politik itu perkara biasa. 

“Tetapi Islam tidak ajar untuk mendoakan kehancuran sesama Islam dan Islam tidak mengajar kita untuk menghina orang lain

“Berbeza pendapat dengan fakta bukan dengan emosi yang tidak matang,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga membidas sikap sesetengah pemimpin politik melakukan perkara yang buruk hanya kerana pihak lawannya melakukan hal sama sebelum ini.

“Jika ada yang beritahu, dulu geng sebelah sini buat perkara yang sama juga maka jawapan saya, jika orang sebelum ni makan najis, adakah kita juga mahu buat perkara yang sama?

“Sudah tentu tidak bukan sebab kita tahu itu perkara yang kotor,” katanya.

Dr Akmal berkata, beliau tiada niat sama sekali untuk menjadi penjilat Perdana Menteri tetapi bersikap menegur apa yang tidak betul dan menyokong apa yang benar.

“Saya bukan walanon ataupun walaun dan tidak berminat nak jadi seperti itu, saya hanya menyatakan apa yang ada di dalam hati kerana jangan kita menjadi fitnah kepada Islam.

“Kalau kita tidak mampu buat kebaikan, jangan halang orang lain untuk buat kebaikan.

“Rakyat mahukan politik matang yang membina, bukan dengan politik sempit yang merendahkan akal fikiran. 

“Jika orang politik masih lagi dengan gaya politik yang sempit, jangan marah rakyat jika mereka benci kepada orang politik,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan