HIMPUNAN ‘Turun Anwar’ yang digerakkan oleh pembangkang semalam memberi kesan positif kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana, menurut pakar geostrategik, Prof Azmi Hassan, pihak penganjur meletakkan harapan yang terlalu tinggi dari segi jumlah kehadiran namun kenyataannya itu tidak berlaku.
Selain itu, beliau berkata, penganjur juga gagal menarik penyertaan kalangan bukan Melayu dan jika ada hanya beberapa kerat.
“Harapan mereka kalau himpunan mencapai satu kejayaan misalnya dari segi jumlah kehadiran dan menarik komposisi pelbagai kaum, momentumnya boleh dibawa ke Dewan Rakyat tetapi itu tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi Edisi 9 hari ini.
Semalam, kira-kira 18,000 peserta yang sebahagian besar kalangan penyokong parti politik menghadiri himpunan aman Turun Anwar di Dataran Merdeka.

Jumlah tersebut jauh lebih kecil berbanding 500,000 sasaran yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Azmi berkata, tindakan Perdana Menteri yang memberi arahan agar tidak mengambil tindakan keras sebaliknya hanya memerhati merupakan satu lagi kesan positif kepada kerajaan.
Katanya, Anwar yang sudah mahir dengan demontrasi ketika menggerakkan Reformasi sebelum ini, mengetahui bahawa sebarang kekangan oleh kerajaan akan memburukkan keadaan.
“Anwar sudah belajar semasa Reformasi dahulu, tidak guna mengekang, kalau mengekang mereka akan menuduh polis menggagalkan perhimpunan.
“Ini menjadi senjata penganjur untuk membuat provokasi dan menyerang balas kerajaan. Namun semalam itu tidak berlaku,” katanya.
Atas sebab itulah Azmi percaya, himpunan Turun Anwar semalam memberi kesan positif kepada Perdana Menteri dan negatif kepada penganjur khususnya pembangkang.
Semalam, Anwar ketika memberi reaksi terhadap himpunan tersebut berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau kekal dan konsisten berpegang pada prinsip yang demokratik yakni kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan.
Katanya, kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.
“Yang penting, ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air,” katanya.
Anwar berkata, prinsip yang sama telah kami semangati melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen di mana Ahli-ahli Parlimen bebas bertanyakan terus apa sahaja soalan, mengangkat bangkangan kepada beliau secara terus. – Edisi 9

