PERMOHONAN kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan menggunakan sistem tunggal mulai tahun depan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini bermakna para pelajar yang memohon MRSM perlu menggunakan sistem Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang disediakan oleh KPM sahaja.
Beliau berkata, perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara KPM dan MARA hari ini.
“Satu sahaja sistem permohonan menggunakan sistem yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sama ada permohonan untuk kemasukan ke SBP atau MRSM mulai tahun ini.
“Satu sahaja sistem penilaian atau Ujian Kemasukan iaitu PKSK untuk diguna pakai bagi permohonan ke SBP dan MRSM.
“Satu sahaja tempat yang ditawarkan berbanding amalan terdahulu yang memungkinkan seorang pelajar menerima dua tawaran berbeza,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
April lalu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mencadangkan agar sistem kemasukan ke MRSM dan SBO diselaraskan mulai pengambilan Januari tahun depan.
Beliau berkata, pemohon masih boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan tersebut, namun selepas ini mereka hanya akan menerima satu tawaran sahaja bagi mengelakkan pertindihan
Menjelaskan perkara itu, Asyraf Wajdi berkata, keutamaan akan diberikan berasaskan pilihan utama yang dipilih pelajar.
“Contohnya, jika pilihan utama ialah MRSM, maka pelajar yang layak akan ditawarkan tempat di MRSM.
“Rayuan kemasukan ke MRSM mahupun SBP akan tetap dibuka sehingga semua tempat terisi,” katanya.
Beliau berkata, lokasi ujian juga akan dikongsikan bersama agar dapat menyelesaikan masalah yang selalu dialami oleh pemohon-pemohon ke MRSM kerana tempat ujian amatlah terhad di 57 MRSM.
“Dengan adanya kerjasama ini, sekolah-sekolah di bawah KPM seluruh Malaysia boleh dimanfaatkan dan ibu bapa tidak perlu lagi bermusafir jauh untuk membawa anak mereka ke pusat-pusat penilaian,” katanya. — Edisi 9

