DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Demikian diumumkan oleh agensi itu menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana masih memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui agensi itu.
“Datuk Seri (Ahmad Shabery) menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui FELDA.
“Pengurusan dan seluruh warga Kumpulan FELDA menyambut baik pelantikan semula ini dan yakin bahawa pengalaman, wawasan serta komitmen tinggi Ahmad Shabery akan terus membawa Kumpulan FELDA melangkah lebih jauh seiring dengan hasrat Malaysia MADANI,” kata kenyataan itu.
Ahmad Shabery yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dilantik sebagai Pengerusi FELDA pada 1 Julai 2023 dan berakhir pada 30 Jun lalu.
Sepanjang dua tahun menerajui FELDA, beliau telah memainkan peranan besar dalam memperkukuh semula ekosistem antara FELDA dan anak-anak Syarikat.
Antaranya mempercepatkan penyahsenaraian FGV Holdings Berhad, sekali gus mengembalikan keyakinan rakan strategik serta mempertingkatkan imej dan prestij FELDA.
Pendekatan beliau diterjemahkan melalui gagasan ‘Segalanya FELDA’ yang kini menjadi teras penyatuan organisasi dan komuniti.
Pelantikan semula Ahmad Shabery sudah mendapat bayangan sebelum ini apabila beliau dilihat masih menghadiri program-program anjuran FELDA selepas perkhidmatannya tamat.
Difahamkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu mesyuarat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dua minggu lalu turut mengumumkan bahawa khidmat Ahmad Shabery di FELDA disambung semula.
Bagaimanapun, perkara itu tidak dapat disahkan memandangkan keputusan akhir kedudukan Pengerusi FELDA terletak di tangan Perdana Menteri. — Edisi 9

