SIAPA sangka kawasan tanah lembap yang kaya dengan flora dan fauna di Setiu kini menjadi medan transformasi ekonomi halal dan ekopelancongan berimpak tinggi?
Itulah yang sedang berlaku di Setiu Wetlands, hasil inisiatif Program Halal PEDULI @ Setiu Wetlands, kolaborasi unik antara Pusat Penyelidikan Halal (HRC), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), YAPEIM, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Program ini bukan sekadar membantu usahawan mikro, malah menyepadukan unsur keusahawanan halal, pemeliharaan alam sekitar, serta warisan budaya komuniti Setiu, menjadikannya model pembangunan komuniti yang menyeluruh.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Sadad Mahmud, Pengarah HRC UniSZA, Setiu dipilih bukan secara kebetulan.
“Setiu Wetlands memiliki khazanah alam yang luar biasa. Ia bukan sahaja penting dari segi biodiversiti, tapi juga warisan budaya masyarakatnya.

“Inilah tapak paling sesuai untuk kita laksanakan transformasi halal yang mampan dan menyeluruh,” katanya.
Beliau menjelaskan, Program Halal PEDULI memberi fokus kepada beberapa bidang utama termasuk pelancongan eko-halal, pemprosesan makanan dan produk herba halal, akuakultur mesra alam, serta pendidikan kesedaran halal kepada komuniti.
Yang menarik, projek ini bukan sekadar ‘turun padang’, tetapi benar-benar melibatkan penduduk tempatan khususnya kumpulan B40, dalam membina perniagaan kecil berasaskan sumber setempat, dengan sokongan ilmu, pensijilan halal, dan panduan daripada pakar akademik serta agensi Islamik seperti YAPEIM.

“Kami mahu pastikan pembangunan halal ini bukan untuk satu sektor sahaja, tapi memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi dan kelestarian komuniti. Sebab itu, pendekatan kami adalah holistik, berlandaskan Maqasid al-Shariah dan nilai Malaysia Madani,” ujar Dr Mohd Sadad lagi.
Setiu Wetlands kini bukan sahaja menjadi destinasi penting untuk pencinta alam, tetapi juga muncul sebagai tapak rintis bagi ekonomi halal berteraskan alam sekitar.
Dari kraftangan tempatan, makanan laut segar yang diproses secara halal, hingga pakej lawatan ekopelancongan yang mendidik tentang flora-fauna dan budaya tempatan, semuanya bersatu di bawah satu misi iaitu halal yang menyeluruh.
Melalui Halal PEDULI, Setiu menjadi simbol harapan, inovasi dan kesejahteraan yang digerakkan dari akar umbi.
Untuk rekod, HRC UniSZA, yang ditubuhkan sebagai hab halal serantau di Pantai Timur, memainkan peranan penting dalam menyelidik, mendidik dan membangunkan inovasi halal.

HRC memfokuskan kepada pendekatan pelbagai disiplin ilmu berasaskan Maqasid al-Shariah, dengan matlamat utama memperkukuh kesejahteraan masyarakat, keadilan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
Melalui program Halal PEDULI, HRC menggerakkan pelbagai inisiatif seperti:
• Pelancongan eko-halal yang inklusif
• Produk makanan dan herba tempatan yang mendapat pensijilan halal
• Projek akuakultur mesra alam
• Latihan dan pendidikan kesedaran halal kepada komuniti B40
“Kita mahu komuniti bukan sahaja jadi pengeluar produk, tetapi juga peneraju kepada model pembangunan halal yang sejajar dengan nilai Malaysia Madani. Ilmu, etika, dan alam mesti berjalan seiring,” jelas Mohd Sadad lagi.
Pendekatan yang dibawa oleh HRC dan rakan kerjasama bukan sekadar membantu dari sudut teknikal dan pensijilan, malah memberikan latihan kapasiti, pemasaran dan pemantapan rangkaian ekonomi tempatan. — Edisi 9

