SPEKULASI berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara terjawab apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diumumkan mengisi jawatan tersebut setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, pelantikan Wan Ahmad Farid yang juga Hakim Mahkamah Rayuan dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Turut diumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan serta Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
“Dimaklumkan bahawa berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan YA Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, YA Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, YA Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” kata kenyataan itu lewat malam tadi.
Wan Ahmad Farid, 62, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.
Susulan persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, telah diumum menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.
Sementara itu, Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu.
Susulan persaraan Abang Iskandar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.
Wan Ahmad Farid dilahirkan pada 13 November 1962 dan berasal dari Kuala Terengganu.
Beliau sebelum ini aktif dalam arena politik dengan menyertai UMNO dan pernah berkhidmat sebagau Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pernah dilantik sebagai Senator dari 2005 hingga 2009 dan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 2008 dan 2009.
Pada 2009, beliau tewas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dan mengumumkan persaraan dalam arean politik pada 2013.
Dalam perkhidmatan kehakiman, Wan Ahmad Farid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 16 Disember 2015, kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2019.
Sejak 12 November tahun lalu, beliau telah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum diumum sebagai Ketua Hakim Negara. — Edisi 9

