MALAYSIA sekali lagi mencatat sejarah di peringkat antarabangsa apabila Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kejayaan tersebut merupakan yang kedua berturut-turut negara selepas Malaysia turut menerima pengiktirafan sama bagi Kompleks Gua Taman Negara Niah tahun lalu.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOSTI) berkata, keputusan bersejarah itu diumumkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 yang berlangsung di Ibu Pejabat UNESCO, Paris.
Sebanyak 21 negara anggota jawatankuasa tersebut, yang dipengerusikan oleh Prof. Nikolay Nenov dari Bulgaria, telah sebulat suara menyokong pencalonan tapak berprestij itu.
“Pencalonan FRIM FPS sebagai tapak warisan dunia bukan suatu usaha singkat. Ia merupakan hasil usaha gigih sejak tahun 2013 yang akhirnya membuahkan hasil selepas lebih sedekad melalui proses penilaian dan dokumentasi menyeluruh,” kata MOSTI dalam kenyataan hari ini.
FRIM FPS yang terletak di Selangor merupakan tapak unik kerana mewakili inisiatif pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di kawasan bekas lombong bijih timah.
Kini, ia menjadi contoh kejayaan pembangunan semula hutan hujan tropika yang hampir menyerupai keadaan semula jadi, lengkap dengan biodiversiti tinggi dan kepelbagaian spesies pokok yang mengagumkan.
Dengan pengiktirafan ini, Malaysia kini mempunyai enam Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Kinabalu dan Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012), Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024), dan kini FRIM FPS (2025).
MOTAC menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti komitmen berterusan Malaysia dalam memelihara warisan semula jadi dan budaya negara.
Dalam kenyataan rasminya, MOTAC turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Luar Negeri serta Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).
“Sinergi ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menjunjung prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kelestarian demi memartabatkan warisan negara di peringkat antarabangsa,” ujar kenyataan tersebut.
Pengiktirafan FRIM FPS sebagai Tapak Warisan Dunia dijangka memberikan impak positif kepada sektor pelancongan negara, khususnya dalam menjelang pelaksanaan Visit Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025.
MOTAC optimis bahawa penyenaraian ini akan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan peluang pekerjaan khususnya dalam kalangan komuniti setempat.
Setakat ini, sebanyak 1,223 tapak dari seluruh dunia telah diiktiraf bawah Konvensyen UNESCO 1972, dan Malaysia kini menjadi antara negara yang semakin diiktiraf di pentas global dalam usaha memelihara warisan bernilai sejagat. — Edisi 9

