Tuesday, July 21, 2026

Kemurungan: NGO Empati desak kaunselor sekolah diperkukuh

Ramai kaunselor sekolah kini terbeban dengan tugas pentadbiran dan tidak dapat melaksanakan peranan sebenar dalam memberikan sokongan emosi kepada pelajar.

Mesti Baca

PENDEDAHAN mengejutkan bahawa seramai 1,020 pelajar sekolah menengah di Selangor berisiko tinggi mengalami kemurungan mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat dan pihak berkepentingan.

Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain menyifatkan angka tersebut sebagai isyarat jelas bahawa sistem sokongan psikososial di sekolah-sekolah sedang berada dalam keadaan tenat dan memerlukan perhatian segera.

“1,020 murid itu hanyalah permukaan gunung ais. Ribuan lagi mungkin sedang berjuang dalam diam. Jika tiada tindakan segera, kita bakal kehilangan mereka secara emosi, akademik atau lebih tragik, nyawa mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin baru-baru ini yang mendedahkan angka membimbangkan itu susulan saringan kesihatan mental di sekolah-sekolah negeri ini.

NGO Empati turut meluahkan rasa kecewa apabila mendapati ramai kaunselor sekolah kini terbeban dengan tugas pentadbiran dan tidak dapat melaksanakan peranan sebenar dalam memberikan sokongan emosi kepada pelajar.

Menurut Syahida, nisbah kaunselor kepada pelajar yang mencecah 1:500 atau lebih, ketiadaan latihan lanjutan, dan kemudahan yang tidak kondusif menjadi antara faktor utama peranan mereka semakin terpinggir.

“Sehubungan itu, NGO Empati mengemukakan beberapa cadangan konkrit bagi menangani krisis ini,” katanya.

Antara cadangannya ialah menyiapkan satu garis panduan etika dan fungsi kaunselor serta Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang jelas dan berautoriti di samping latihan berkala untuk kaunselor meliputi modul seperti Psychological First Aid, trauma-informed care, dan komunikasi empati.

Katanya, pemerkasaan PRS di peringkat nasional agar pelajar tahu mereka tidak keseorangan, ruang kaunseling yang selamat, rahsia dan tidak menghakimi di semua sekolah serta promosi kesedaran kesihatan mental secara menyeluruh untuk menghapus stigma perlu dilaksanakan.

Syahida menegaskan bahawa sudah tiba masa naratif yang menyalahkan pelajar kerana “tidak tahan tekanan” dihentikan sebaliknya, sistem pendidikan perlu membina struktur sokongan yang lebih berperikemanusiaan.

“Kaunselor bukan sekadar opsyen. Mereka adalah tulang belakang kepada kestabilan emosi dan masa depan pelajar,” katanya tegas.

Untuk rekod NGO Empati yang ditubuhkan pada tahun 2022 kini mempunyai lebih 600 sukarelawan termasuk individu yang pernah mengalami masalah kesihatan mental sendiri.

Mereka aktif dalam program intervensi di sekolah, pusat juvana dan komuniti remaja berisiko di seluruh negara. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan