Friday, June 5, 2026

Zahid mohon maaf isu ‘jika malaikat jadi presiden UMNO’

Hakikatnya, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin.

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini melahirkan rasa kesal atas keterlanjurannya membuat perbandingan dengan malaikat dalam konteks tekanan yang dihadapinya ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO.

Beliau yang mengakui kekhilafan tersebut dengan rendah diri memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada semua atas keterlanjuran kata-kata tersebut.

Menurut Zahid, ungkapan tersebut diucap dalam suasana penuh emosi bagi menggambarkan tekanan yang dihadapi beliau sebagai pemimpin UMNO.

“Beberapa hari ini, telah tular sebuah video yang mengaitkan ucapan saya menyatakan satu perumpamaan tentang malaikat yang diungkapkan dalam konteks tekanan yang saya hadapi ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO.

“Hakikatnya, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin. Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

“Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosialnya hari ini.

Sejak beberapa hari lalu tular rakaman video Zahid yang didakwa menyebut: “Jika Allah SWT menjadikan malaikat sebagai presiden UMNO, malaikat pun akan lari malam” yang dipercayai dipetik dari salah satu ucapannya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian.

Bagaimanapun, video tular tersebut tidak menyiarkan sepenuhnya ucapan tersebut sebaliknya ia telah disunting dan kemudian disebarkan menerusi media sosial.  — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan