MALAYSIA sekali lagi membuktikan komitmen terhadap pendigitalan inklusif apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi negara ke acara kemuncak World Summit on the Information Society+20 (WSIS+20) yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai di Geneva, Switzerland.
Menurut Fahmi, penyertaan Malaysia kali ini bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan peranan aktif negara dalam memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi serantau seiring dengan agenda global Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Beliau berkata, langkah itu turut mencerminkan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan teknologi sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat.
Fahmi dalam kenyataan berkata, Malaysia membawa agenda strategik termasuk perluasan capaian internet luar bandar, keterangkuman digital dan program literasi teknologi yang menyeluruh.
“Platform WSIS ini membuka ruang untuk negara memperlihatkan kejayaan inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang memperkukuh jaringan digital negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

WSIS yang dinaungi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menjadi pentas penting bagi pembuat dasar global bertukar pandangan.
Selain itu, ia juga menjadi wadahberkongsi amalan terbaik dan menyusun strategi jangka panjang terhadap pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global.
Sejak diperkenalkan, platform ini turut memperkenalkan WSIS Prizes bagi mengiktiraf projek teknologi berimpak tinggi di seluruh dunia.
Sepanjang WSIS+20, Fahmi dijadualkan mengadakan lebih 10 pertemuan dua hala bersama pemimpin komunikasi dan teknologi dari negara seperti United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia dan Algeria.
Beliau turut dijadualkan bertemu Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Doreen Bogdan-Martin bagi memperkukuh kerjasama strategik.
“Penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 kali ini bukan sahaja meletakkan negara pada radar global ICT, malah menegaskan peranan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam mendorong pembangunan teknologi yang adil, saksama dan mampan selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya. — Edisi 9

