Thursday, June 4, 2026

Projek NADI Pulau Banggi menang hadiah utama WSIS 2025

Susulan kejayaan itu, projek NADI dijangka diperluas ke kawasan lain seperti Pulau Mandi Darah dan lokasi berimpak tinggi di Sabah dan Sarawak menjelang tahun 2035. 

Mesti Baca

MALAYSIA terus mengukir nama di peringkat antarabangsa apabila Projek Inklusif Digital NADI Malaysia diumumkan sebagai penerima utama Hadiah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025 dalam kategori C4: Capacity Building, mengatasi ratusan pencalonan dari seluruh dunia.

Pengiktirafan yang diumumkan di Geneva itu merupakan satu penghormatan besar kepada usaha negara dalam memperkasakan komuniti luar bandar, khususnya di kawasan terpencil seperti Pulau Banggi, Sabah melalui pembangunan kemahiran digital dan penyediaan akses internet berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi Malaysia ke WSIS+20, menerima anugerah berkenaan dalam satu majlis rasmi anjuran International Telecommunication Union (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Projek NADI mencerminkan semangat Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa harus dipinggirkan dalam era digital ini. 

“Ini bukan sekadar projek teknologi, ini adalah perjuangan untuk keadilan sosial dan peluang ekonomi yang saksama untuk semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat, Pulau Banggi sebelum ini mengalami kesukaran akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi.

Namun, melalui NADI yang digerakkan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), satu hab digital komuniti telah diwujudkan lengkap dengan internet berkelajuan tinggi, latihan ICT dan program ekonomi digital untuk nelayan, petani, pelajar serta usahawan kecil.

Transformasi ketara telah mula dirasai apabila belia tempatan kini celik ICT dan mampu menjana pendapatan melalui pekerjaan digital manakala golongan wanita pula memanfaatkan platform e-dagang untuk memasarkan produk.

Dalam pada itu, usahawan kecil di pulau tersebut juga berjaya memperluas pasaran mereka secara atas talian.

Susulan kejayaan itu, Fahmi berkata, projek NADI dijangka diperluas ke kawasan lain seperti Pulau Mandi Darah dan lokasi berimpak tinggi di Sabah dan Sarawak menjelang tahun 2035. 

“Pendekatan berasaskan komuniti, modul latihan berskala dan pembiayaan jangka panjang akan menjadi tunjang peluasan program ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Projek Stingray II di Pulau Ketam turut menerima pengiktirafan sebagai johan bagi kategori C2: Information and Communication Infrastructure selepas berjaya memasang kabel gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer, menghubungkan Kapar ke Pulau Ketam di Klang, Selangor.

Projek itu telah memacu penggunaan teleperubatan, pembelajaran dalam talian dan pertumbuhan ekonomi digital penduduk setempat.

“Pengiktirafan ini sekali gus menegaskan komitmen Malaysia dalam menjadikan kesaksamaan digital sebagai tunjang pembangunan negara. 

“Ia turut membuktikan bahawa pendekatan inklusif seperti NADI bukan sahaja berkesan di peringkat nasional, malah mampu menjadi model global,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan