JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket yang disyaki mengeksploitasi warga emas dalam urusan perkahwinan dengan warga asing menerusi satu serbuan khas di sekitar Putrajaya pada 3 Julai lalu.
Operasi bersepadu yang dijalankan seawal jam 9.19 pagi itu membabitkan pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil maklumat risikan dan aduan awam yang dikumpul selama dua minggu.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, seramai lima lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 66 tahun berjaya diberkas, termasuk empat individu yang dipercayai dalang utama serta seorang lelaki yang berperanan sebagai orang tengah sindiket.
“Sindiket ini dipercayai telah aktif sejak setahun lalu dan menyasarkan warga emas di sekitar Lembah Klang yang ingin berkahwin dengan warganegara asing, dengan bayaran antara RM50 hingga RM500 bagi setiap permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah 62 pasport pelbagai negara termasuk Malaysia, China, Bangladesh, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Macau selain komputer dan mesin pencetak.

Lain-lain ialah 26 berkas dokumen rasmi JIM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dua kenderaan jenis Perodua Bezza dan Honda CRV sert wang tunai RM3,070 disyaki hasil kegiatan haram sindiket.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan imigresen dan pendaftaran perkahwinan secara haram, termasuk memproses permohonan bagi status ‘isteri kepada warganegara tempatan’.
Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya.
Tambah Zakaria, tindakan tegas ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuh integriti tadbir urus dan keselamatan negara.
“Jabatan Imigresen akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang cubaan mengeksploitasi sistem imigresen negara,” tegas beliau. — Edisi 9

