Tuesday, July 21, 2026

Zambry ingatkan UMNO: Era politik solo sudah berlalu 

Zaman ‘lone ranger’ sudah tamat. Hari ini adalah zaman kolaborasi. Kita mesti bergerak seiring, bersatu tenaga, dan membina kekuatan bersama dengan semua pihak...

Mesti Baca

UMNO perlu menerima realiti bahawa era politik solo sudah berlalu dan kini tiba masa untuk bergerak dalam acuan politik baharu yang menuntut kerjasama rentas parti dan organisasi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan, landskap politik negara hari ini telah berubah secara mendasar dan tidak lagi semata-mata ditentukan oleh fakta dan dasar, tetapi lebih banyak dipengaruhi oleh persepsi awam dan sentimen media sosial.

“Politik hari ini tidak lagi ditentukan oleh fakta semata-mata. Sebaliknya, ia dibentuk oleh emosi, persepsi dan sentimen yang pantas tersebar melalui media sosial. 

“Inilah cabaran terbesar UMNO dalam politik moden,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok, Kedah, hari ini.

Zambry menyifatkan perubahan landskap ini sebagai sesuatu yang tidak boleh dielak dan perlu difahami sepenuhnya oleh seluruh kepimpinan dan ahli parti, terutama dalam usaha memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Zaman ‘lone ranger’ sudah tamat. Hari ini adalah zaman kolaborasi. Kita mesti bergerak seiring, bersatu tenaga, dan membina kekuatan bersama dengan semua pihak yang berkongsi hasrat membangunkan negara,” ujar beliau.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut merujuk kepada buku The Perception Gap oleh Bobby Duffy yang menghuraikan bagaimana rakyat di seluruh dunia hari ini semakin mudah terperangkap dalam jurang persepsi yang tidak semestinya benar.

“Kajian terhadap 40 buah negara membuktikan rakyat lebih mempercayai apa yang dilihat dan didengar di media sosial walaupun separuh benar atau palsu. Sebagai parti politik, kita tidak boleh lagi berpegang kepada logik lama,” katanya.

Justeru, beliau berkata, UMNO harus segera menyusun semula strategi komunikasi politik, menyentuh isu semasa dengan pendekatan yang lebih segar dan responsif, serta menjadikan rakyat sebagai rakan dialog, bukan sekadar sasaran propaganda.

Zambry turut menyatakan bahawa kejayaan masa lalu UMNO tidak boleh dijadikan selimut selesa kerana rakyat hari ini menuntut penyelesaian konkrit terhadap isu harian mereka.

“Sejarah perjuangan adalah warisan. Tetapi masa depan UMNO bergantung kepada keupayaan kita memahami perubahan dan membina naratif baharu yang benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMNO Merbok yang diketuai Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin atas usaha memperkasa parti di peringkat akar umbi dengan pendekatan lebih inklusif dan progresif. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan