Friday, June 5, 2026

Pakar perjelas fakta teknikal: MPD bukan ancaman privasi

Ramai pengguna tidak kisah memberi kebenaran kepada aplikasi luar negara untuk mengakses data peribadi tetapi apabila kerajaan cuba menggunakan data umum yang tidak bersifat peribadi untuk tujuan perancangan, ia terus dicurigai.

Mesti Baca

PROGRAM Data Telefon Bimbit (MPD) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukanlah langkah pemantauan bersifat pencerobohan, sebaliknya satu pendekatan strategik untuk memperkukuh perancangan digital negara berdasarkan data tanpa identiti peribadi.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Majlis IPv6 Asia Pasifik (APAC) merangkap pakar keselamatan siber, Prof. Emeritus Dr. R. Sureswaran berkata, data yang dikumpul menerusi program berkenaan adalah berbentuk metadata terkumpul dan dianonimkan, tanpa mengandungi maklumat peribadi pengguna.

“Tidak ada nama, nombor telefon, lokasi GPS secara individu, kandungan mesej atau sejarah pelayaran internet dikutip. Ia hanya merangkumi isyarat rangkaian, kod kawasan lokasi, serta corak penggunaan rangkaian mudah alih,” katanya hari ini.

Tegas beliau, masyarakat harus sedar bahawa data yang dikumpul oleh syarikat teknologi global seperti Google, Apple dan Meta adalah jauh lebih terperinci dan menyeluruh, meliputi lokasi tepat, sejarah aktiviti dalam aplikasi, maklumat log masuk dan data peribadi lain.

“Ironinya, ramai pengguna tidak kisah memberi kebenaran kepada aplikasi luar negara untuk mengakses data peribadi, tetapi apabila kerajaan cuba menggunakan data umum yang tidak bersifat peribadi untuk tujuan perancangan, ia terus dicurigai,” katanya lagi.

DR R. SURESWARAN

Sureswaran menjelaskan bahawa persepsi negatif ini lahir daripada salah faham mengenai konsep ‘metadata’, iaitu data bersifat umum yang tidak boleh mengenal pasti individu secara langsung.

Beliau turut menekankan bahawa program tersebut dilaksanakan secara sah di bawah dua perundangan utama, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“MCMC tidak beroperasi dalam ruang kosong. Mereka mematuhi kerangka perundangan yang ketat. Tiada sebarang data dikongsi dengan pihak ketiga atau digunakan untuk tujuan komersial,” katanya.

Jelasnya, akses kepada data tersebut juga hanya terhad kepada pasukan analitik dalaman MCMC, dengan kawalan keselamatan siber yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Sureswaran berkata, data telefon bimbit berkenaan amat penting untuk membantu pihak berkuasa membuat keputusan berdasarkan fakta, khususnya dalam perkara seperti liputan rangkaian 5G, jurang digital luar bandar, dan tindak balas kecemasan semasa bencana.

“Beberapa negara maju seperti Korea Selatan, Finland dan Estonia telah lama menggunakan data metadata sebegini tanpa menimbulkan isu pelanggaran privasi,” jelasnya.

Beliau menyambut baik langkah MCMC untuk berkomunikasi secara terbuka dengan orang awam, mengadakan libat urus bersama pakar dan menawarkan audit pihak ketiga bagi memastikan ketelusan.

“Kita mesti bezakan antara tadbir urus yang telus dan pencerobohan. Program ini secara teknikalnya sah, etika, dan untuk manfaat rakyat,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan