Sunday, July 19, 2026

Sindiket dadah rentas sempadan tumpas, ganja 73.25kg dirampas

Siasatan awal mendapati, ganja berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan negeri Perlis dan diedarkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang. 

Mesti Baca

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Perlis sekali lagi berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja rentas sempadan dalam satu serbuan yang dilancarkan awal Selasa lalu.

Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 1.25 pagi di sekitar kawasan Jalan Baiduri, Kepong itu, berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 33 tahun bersama sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz.

Pemangku Pengarah JSJN, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui sebanyak 70 ketulan bungkusan mampat dadah jenis ganja dengan anggaran berat keseluruhan 73.25 kilogram dan nilai rampasan dianggarkan RM227,063.

“Jumlah dadah yang dirampas itu mampu merosakkan kehidupan kira-kira 146,492 individu, menurut anggaran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, ganja berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan negeri Perlis dan diedarkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang. 

Kedua-dua suspek berperanan sebagai ‘transporter’ dan dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

Walaupun ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama memiliki 17 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah, manakala suspek kedua mempunyai empat rekod lampau dengan kesalahan sama.

Salahuddin berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup beserta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Di samping itu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana dua pasang subang emas bernilai RM1,950 turut disita. Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM229,013.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, sementara pihak JSJN giat memburu baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas.

Kata beliau, kejayaan ini membuktikan kesungguhan JSJN dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah yang dianggap sebagai musuh nombor satu negara.

Dalam sidang media di Kubang Pasu semalam, Salahuddin berkata, pihaknya dengan kerjasama Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah rentas sempadan dalam operasi khas yang dijalankan baru-baru ini di sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Beliau berkata, operasi bersepadu yang turut disertai JSJN Kedah, JSJN Pulau Pinang dan Sekretariat Narkotik Nukleus (SNN) Kedah/Perlis itu berjaya menahan dua suspek warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an.

Orang ramai digesa untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi hotline JSJN di 012-208 7222 demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan